Persoalannya apakah cara yang terbaik untuk mendapatkan jodoh? Banyak kita dengar dan belajar dari persekitaran kita dengan mendengar cerita dari ibu bapa,pakcik makcik,adik beradik,sahabat handai tentang kisah pertemuan sebelum menjejakkan kaki ke alam perkahwinan, begitu juga kisah agung dongeng-dongeng dan titipan sejarah cinta yang telah dibukukan malah difilemkan yang menjadi garis panduan malah impian kepada manusia dewasa ini.
Tidak kurang juga dengan kisah-kisah sedih dan pilu yang menjadikan perkahwinan satu institusi yang sangat ditakuti oleh sebilangan lelaki dan wanita Melayu beragama Islam di negara kita ini. Setelah membuat banyak kajian secara peribadi dan juga membaca rujukan carta statistik yang dikeluarkan oleh pihak berwajib, saya mendapati beberapa cara telah wujud bagi masyarakat Melayu Islam negara ini berjumpa dengan jodoh mereka. Saya juga mendapati penduduk Malaysia hari lebih suka mencari pasangan sendiri yang kononnya akan menjamin kebahagiaan berkekalan kerana sudah saling mengenali antara satu sama lain. Ini memang terbukti kerana asas bagi sesebuah perkahwinan adalah persetujuan antara dua pihak. Jadi ini memudahkan urusan pembinaan mahligai syahdu pasangan dan saya secara peribadinya sangat menghormati dan kagum terhadap pasangan sebegini. Dengan jangka masa pengenalan yang agak matang itulah mendewasakan mereka malah mampu memahami pasangan sebaik mungkin.
Tetapi setiap yang pro pasti ada kontranya, itulah adat dunia yang tidak mampu disangkal oleh cerdik pandai dari tempat dan masa mana sekalipun. Kalau pasangan pilihan hati sendiri begitu enak melayari bahtera rumah tangga begitu juga mudahnya pasangan yang terlalu memahami pasangan masing-masing terjebak dalam permasaalahan rumah tangga, yang akhirnya terbukti dengan hanya perceraian. Tidak saya mahu huraikan disini apakah faktornya kerana bukan tujuan coretan tinta ini.
Lain pula perbedaan yang berlaku apabila pasangan bersatu kerana dijodohkan, tapi cara ini dianggap kolot dan tidak praktikal kerana pemikiran masyarakat sekarang mementingkan kebebasan berfikir dan bersuara. Jadi cara ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini, kerap kali kita dengar banyaknya kesan negatif akibat penjodohan sebegitu. Tapi lain pula jika saya berbual dan bertanya dengan pakcik-pakcik atau makcik-makcik lewat setengah abad yang majoritinya berkahwin setelah dijodohkan tetapi ternyata bahagia sehingga akhir hayat mereka.
Maka saya sedar bahawa selayaknya kita harus berfikir apakah cara yang paling terbaik untuk diri kita mendapat jodoh hayat.
Sedarkah kita bahawa Allah ta’ala sudah berfirman bahawa ketika mana kita berusia 6 bulan di dalam rahim ibu kita sudah ditetapkan kepada kita 3 perkara yakni persoalan ajal maut,rezeki dan akhir sekali jodoh, maka selayaknya persoalan ini kita sandarkan pada Islam yang sentiasa menjadi pemudah dan pedoman hidup mukmin sejati. Disambung lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang menggariskan 4 perkara utama yang perlu pada pemilihan pasangan hidup iaitu rupanya,hartanya,keturunanya dan agamanya. Maka selayaknya menjadi pilihan utama adalah pasangan yang mencintai agama kerana seseorang mukmin secara langsung akan terserlah sifat soleh dan solehahnya. Dengan itu secara langsung sifat kewanitaanya, kekayaanya, kebijaksanaanya jua akan terserlah sama.
Pada setengah perkara ternyata tidak layak otak kita yang sejengkal ini mahu membuat perkiraan tepat mengenai apatah lagi persoalan qada dan qadar Allah. Kerana semestinya setiap ketetapan Allah adalah yang terbaik, cuma cara penerimaan kita terhadap nikmat dan ujianNya menunjukkan kita menerima semua ketapan itu sebagai baik atau tidak. Pada golongan yang bakal berhadapan dengan situasi ini mahupun yang telah lewat, “jangan takut dan jangan sedih, sesungguhnya Allah bersama kita” dan lagi Allah berfirman “berdoalah kepaku nescaya akan kumakbulkan.”
Jadi apakah alasan kita hanya mengeluh dan hanya menyalahkan takdir dalam pencarian jodoh. Berdoalah dengan konsisten dan ikhlas, dengan asbab (sebab) pasangan tersebut dijodohkan oleh emak bapa, pertemuan dari kawan-kawan, rakan sekuliah malah mungkin melalui jaringan maya (internet). Walaubagaimana cara sekalipun percaya dan yakinlah, pastinya ketapan Allah adalah yang terbaik. Penulis yakin cara yang paling baik dan berkat ialah berdoa kehadrat Ilahi dengan konsisten dan setulus hati agar dikurniakan pasangan yang akan membahagiakan kita dunia dan akhirat,dengan itu serahkanlah 100% keyakinan pada qada dan qadar Allah Ta’ala. Janganlah terlalu terikut-ikut dengan persekitaran umum sekarang yang banyak terpengaruh dengan cara dan etika bangsa barat yang hanya mementingkan kepuasan dan keselesaan nafsu yang tiada noktah.
Tetapi tidak secara totalnya cara tersebut dijadikan sandaran, macam mana caranya sekalipun, tetapkan hati dan tanamlah dengan bisikan amalmu yang ikhlas kerana Allah, paksalah hatimu untuk belajar menjadi ikhlas hati dan budi. Semestinya kita sebagai orang Islam wajib percaya dengan syurga. Sedarkah kita segala kesempurnaan nikmat hanya boleh dirasai di sana? Berapa ramai para sahabat di zaman Rasulullah hidup penuh dengan keaiban, kehinaan dan penderitaan tetapi sekarang terbayangkah kita di mana mereka? Sebahagian besar daripada mereka sekarang berada di sisi Zat yang agung malah dengan kenikmatan yang tidak akan mati, Allahu rabbul jalil.
Begitu juga dengan hal jodoh yang menjadi topik kita kali ini. Kesempurnaan yang hakiki hanya di syurga, berapa banyak Kalam Allah yang menggambarkan janji nikmat olehNya pada manusia yang soleh dan solehah. Jadilah mukmin yang baik nescaya tiada sesal pada kita akhirnya.